INDAH, SUCI DAN LUMAYAN
Aku telah melintasi Kampong Bakam, melintasi Kampong Jengalas, melintasi Kampong Hunai, Kampog Sepuru, Kampong Keluru Tengah – ini hanyalah nama nama kampong yang aku lintasi dalam perjalanan entah ke mana menuju ke rumah panjang. Haram langsung kaki aku tidak menjejak ke kampong-kampong ini. Yang aku lihat hanyalah papan-papan tanda tercacak di pinggir jalan.
Apakah kau telah pernah merasakan seperti apa yang aku rasakan ini? Apakah kau pernah bertanya dalam hati kecilmu siapa agaknya yang tinggal di kampong-kapong ini? Ketika senja sampai nyamuk apakah yang datang menyerang orang-orang di kampong ini? Apa makanan malam mereka? Sesudah makan apa yang mereka lakukan? Bila malam meninggi apakah mimpi-mimpi mereka?
Pertanyaan demi pertanyaan tanpa aku menemui jawapan. Soalan-soalan yang tidak mungkin kau menjawabnya.
Setiap kali aku melintasi wilayah-wilayah yang belum aku kenali – setiap kali hati aku dilanda berahi. Berahi untuk tahu tentang itu dan ini. Berahi dengan angan-angan jika aku hidup seribu tahun aku akan bermalam disetiap kampong-kampong yang aku lintasi ini.
Demi Zeus aku berkhayal setiap orang yang aku temui akan bercerita tentang itu dan ini. Bercerita tentang laut , sungai dan hutan. Aku ingin mendengar surah ular sawa dan babi hutan. Surah tentang pokok rotan dan nipah. Kesah tentang umbut dan pucuk paku. Kesah labi-labi dan kura-kura. Juga kesah perjuangan menuntut Merdeka.
Petang itu hampir jam 7 aku meninggalkan Miri. Yang aku tuju ialah Rumah Panjang Kunjan. Dua jam kemudian aku pun sampai tempat yang nak aku tuju. Rumah panjang ini bersebelahan dengan ladang sawit. Disini ada terdiri beberapa buah rumah panjang. Yang ingin kau lawati hanya sebuah rumah panjang batu sebanyak 19 pintu.
Bila aku menapak ke pintu rumah aku mula dengar suara politikus berceramah dari alat pembesar suara yang agak garau. Aku tidak tahu siapa yang sedang berucap. Apa yang pasti diwilayah ini Pakatan Rakyat sedang mendapat sambutan yang hangat. Setiap rumah panjang yang telah aku lawati semuanya menyatakan kesediaan untuk memberikan undi kepada calon Pakatan.
Bila aku memasuki rumah panjang ini aku melihat hampir 70 orang warga Iban – jantan dan betina - sedang mendengar ceramah. Ada yang bersila dan ramai juga yang berlunjur santai menyandarkan badan ke dinding. Beberapa orang kanak-kanak berlari tak tentu hala. Untuk kanak-kanak, malam ini pastilah satu pesta yang menarik.
Aku perhatikan bahawa rumah panjang ini masih belum siap. Malah aku sendiri bersantai bersandar pada 4 kampit guni simin yang telah masuk angin dan menjadi keras.Mungkin tuan rumah keputusan duit – lalu gagal untuk menggunakan simin ini.
Untuk kamu yang tidak pernah ke rumah panjang biar aku ceritakan disini tentang rumah panjang ini. Aku melihat rupa bentuk rumah panjang ini semuanya sama – tingkap , pintu dan cat – semuanya seirama. Pada awalnya aku agak ini pasti didirikan oleh kerajaan- satu projek pembangunan desa. Bila aku bertanya-bertanya maka aku dapati anggapan aku salah.
Hampir ke semua rumah panjang di Sarawak ini didirikan tanpa bantuan kerajaan. Warga Dayak ini tolong menolong bergotong royong mendirikan tempat kediaman mereka. Sebelum rumah didirikan telah ada persetujuan ramai tentang rupa bentuk rumah ini. Bahagian luaran rumah panjang semuanya diwajibkan sama. Bahagian dalaman terpulang kepada tuan empunya rumah.
Malam itu di Rumah Panjang Kujan agak berlainan – selesai ceramah ada jamuan. Aku telah diberitahu bawa saekor babi telah dikorbankan untuk kenduri malam ini. Untuk aku ini satu yang amat menarik. Aku ingin menikmati masakan orang Dayak.
Ada dua kumpulan – satu yang makan babi dan yang satu lagi yang tak suka makan babi. Selain dari babi masak kicap ada juga gulai ayam dan sayur umbut kelapa sawit. Untuk aku inilah pertama kalinya aku makan umbut kepala sawit. Enak. Aku menjadi hairan kenapa umbut sawit ini tidak dipopularkan di Semenanjung, walhal bila sawit dipotong pasti ada umbutnya. Malah cara Dayak memasak umbut ini amat senang - umbut direbus di campur dengan daging ayam atau babi – terbalik dunia ketika aku menikmati masakan ini.
Selesai makan aku mengintai-ingtai kalau dapat masuk untuk melihat rupa bentuk bilik rumah panjang ini. Peluang ini sampai apabila seorang perempuan Dayak membuka pintu rumahnya. Si Perempuan ini tersenyum memandang aku. Lalu aku merapati si Perempuan dan bertanya sama ada aku boleh melihat bahagian dalam rumahnya
Jelia Anak Mayang berumur lebih dari 40 tahun dengan ramah mempersilakan aku masuk. Lalu kami bersuai kenal. Perempuan beranak empat ini telah ada 4 orang cucu. Suaminya , Gon Anak Ukit kini memburuh di pelantar minyak di Kemaman.
Bahagian dalam rumah Jelia ini masih belum siap. Telah hampir lima tahun pembuatannya rumahnya terbengkalai kerana tidak ada modal. Jelia menunjukkan bahawa dia bercita untuk menambah setingkat lagi. Hanya tangganya yang siap. Aku nampak kayu dan beluti masih bersilang seli. Mungkin kerana ini Sang Suami pergi merantau memburuh di Semenanjung
Sedang kami bersembang ayah dan ibu Jelia muncul dari dapur. Ayah Jelia – Mayang Anak Tupai telah melebihi 70 tahun. Ibu Jelia - Ika anak Engkang juga mungkin dalam angaran umur yang sama. Seperti budaya Melayu, orang Dayak juga tidak ambil pot sangat tentang tarikh lahir. Umur-umur mereka hanyalah anggaran sahaja. Konsep tarikh lahir, bulan dan tahun ini amat asing dalam budaya asli Dayak.
Kami duduk diruang tengah yang suku bahagianya telah dipenuhi oleh guni-guni padi. Aku terus membuat kesimpulan bahawa Jelia ini dari keluarga Dayak yang bertani.
‘ Aku berjalan tiga jam dari sinik baruk aku sampai ke sawah aku.’ Jelia menerangkan betapa jauhnya tempat dia bersawah. Keluarga Jelia memiliki tiga ekar sawah. Pada satu ketika dahulu Ika dan Mayang turut sama membantu di sawah. Kini mereka telah tua. Kerja-kerja ini telah diambil alih oleh anak dan cucu.
Tanah sawah di Mutab Bulau ini adalah kawasan asal rumah panjang mereka. Kawasan ini berhampiran dengan Sungai Sebuti. Hari ini masyrakat rumah panjang itu telah berpecah menjadi empat kerana tanah-tanah adat mereka telah diambil oleh kerajaan untuk dijualkan kepada ‘kompeni’. Yang tinggal hanya tanah sawah mereka.
Sedang kami bersembang tentang sawah datang pula Salba Anak Gon yang baru berumur 22 tahun dengan anaknya yang berumur 4 tahun. Salba telah dua tahun menjanda kerana Sang Suami telah lari ke Bintulu dan berkahwin baru. Salba tinggal di rumah sebelah rumah ibunya.
Dari pemerhatian , aku anggap keluarga Dayak ini amat rapat. Menurut Jelia, ketika dia ke sawah yang menjaga orang tua dirumah ialah Salba. Kadang-kadang si Salba juga datang membantu di sawah terutama ketika musim menuai padi. Padi yang ditanam setahun sekali ini tidak dibantu dengan mesin – semuanya menggunakan tenaga manusia.
Selain dari tiga ekar sawah ini keluarga Mayang ini ada memiliki 3 ekar sawit. Bila aku tanya berapa harga sawit Salba dengan cepat menjawab.‘ Dulu kerajaan janji seribu ringgit setan… sekarang ni hanya 640 ringgit..’
Lalu aku bertanya jenis jenis padi yang mereka tanam. Ada padi Bario yang harganya termahal, ada padi Keladi , ada padi Kenawit, padi Langsam dan padi pulut untuk membuat tuak. Bila disebut ‘tuak’ maka kami sesama ketawa kerana awal tadi aku telah bertanya dimana aku boleh membeli Langkow – sejenis tauk yang terbaik yang hanya ditemui di rumah panjang.
Jelia terus bercerita tentang zaman-zaman ini dimana mereka semuanya duduk berhampiran dengan tebing Sungai Sebuti. Ini sebelum rumah panjang mereka di pecah empat. Ini sebelum tanah adat mereka diambil ‘kompeni’. Kehidupan mereka aman damai dan lumayan. Ke hutan mencari babi dan rusa. Ada umbut dan ada buah kayu. Di sawah ada ada puyu, haruan dan bantek. Di sungai ada baung dan lampam. Zaman ini telah berakhir apabila sawit sampai.
Mayang sang Ayah telah tertarik mendengar kami berbual – terutama apabila aku ketawa terbahak-bahak. Dia membuka kaca matanya yang tebal dan berkata sesuatu kepada aku. Sayangnya aku tidak mengetahui bahasa Iban. Lalu si anak meceritakan apa yang disurahkan oleh ayahandanya. Sama seperti surah Jelia, si Ayah juga bernostalgia dengan zaman mereka hidup berhampiran denagn Sungai Sebuti. Ini dizaman Raja Brooke. Zaman sebelum Sarawak menjadi sebahagian dari Malaysia.
‘ Sekarang sungai banyak yang kotor…’ Aku tidak faham apakah sungai Sebuti yang kotor atau semua sungai di Sarawak yang dimaksudkan oleh Mayang. Mayang bersurah lagi tentang zaman remajanya dimana dia sering ke hutan menjerat babi dan rusa. Hutan penuh dengan rotan dan manau. Ini sebelum Taib Mahmud memporak peranda rumah panjang mereka. Si Ayah bernostalgia dizaman mereka semuanya hidup dalam satu kumpulan dan tidak terpisah-pisah.
Tetiba aku ingin tahu apakah padi berguni-guni ini cukup untuk makanan setahun sebelum musim menuai sampai lagi. Dengan lemah Jelia menerangkan tahun ini tuaian agak kurang. Tidak ada padi yang dapat dijual. Hanya cukup makan. Ini kerana tanpa diduga banjir telah melanggar dan kemudian kemarau pula sampai.
Oh! Rupa-rupanya iklim dunia yang panas ini juga telah melanda Dayak di Sarawak Aku hanya mendengar. Aku hanya memasang telinga dan mencatit nota kerana aku berjanji pada diri aku sendiri untuk menjadi perawi saheh yang membawa ayat-ayat suci kepada khalayk yang lebih ramai.
‘Tapi beras pulut ada untuk buat tuak. Datanglah Gawai nanti’ Jelia menjemput aku ke pesta Gawai. Aku pecah ketawa apabila mendengar jemputan gawai dan tuak. Tetapi aku tidak sanggup membuat janji atau berjanji. Lalu kami bersalaman untuk kali terakhir kerana aku tahu tidak mungkin aku akan datang sekali lagi ke sini. Yang aku bawa pulang hanyalah ingatan. (TT)
0 comments:
Post a Comment