BIBLE BAHASA MELAYU: ANTARA KEPIMPINAN DAN KETUANAN

Posted on
  • Friday, March 18, 2011
  • by
  • Prolog
  • in
  • Saya mengikuti isu ini dengan penuh kehairanan. Alasan-alasan yang diberi hanya menunjukkan betapa Pemimpin UMNO begitu keliru dan tidak memahami Islam. Apa yang lebih memburukkan ialah dalam kekeliruan ini mereka turut mengelirukan masyarakat Melayu melalui sikap-sikap mereka yang ekstrim dan songsang. Mari kita kaji alasan-alasan ini satu per satu dan memikirkan bersama sejauhmana ianya munasabah.


    Alasan Pertama – Penggunaan Kalimah Allah


    Sepertimana yang sering saya jelaskan sebelum ini, tidaklah menjadi satu kesalahan bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan pencipta dan pemilik alam. Hakikat ini terbukti berdasarkan begitu banyak ayat-ayat Al-Quran dan juga Hadith-hadith Rasulullah (SAW).

    Alasan Kedua – Haramnya Ungkapan 'Al-Masih (Isa) Anak Allah'

    Ini merupakan alasan yang lagi dangkal! Dari kecil lagi kita semua sudah difahamkan bahawa kepercayaan orang-orang Nasrani adalah Nabi Isa (AS) merupakan anak Tuhan. Dan oleh kerana Allah adalah Tuhan maka ini bermaksud bahawa Nasrani menganggap Isa adalah anak Allah. Itu adalah kepercayaan mereka dan memanglah sebagai orang Islam kita tidak bersetuju. Tetapi kita tidak boleh melarang orang Kristian atau Nasrani berkepercayaan sebegitu. Itulah yang dikatakan kebebasan beragama.

    Ianya bertambah pelik apabila kita tahu bahawa di dalam Al-Quran sendiri kepercayaan ini disebut Allah supaya ummat Islam faham apa yang membezakan kepercayaan Nasrani dengan kepercayaan orang Islam. Malahan, lebih dari itu, Al-Quran juga menyentuh kepercayaan-kepercayaan lain orang Nasrani dan Yahudi berhubung Allah. Saya senaraikan tiga contoh disini untuk rujukan pembaca.


    “Berkata orang Yahudi, “Uzair anak Allah” dan berkata orang Nasara “Al-Masiih anak Allah”…..
    (Surah At-Taubah ayat 30)

    “Telah menjadi kafir mereka yang berkata “Sesungguhnya Allah adalah Al-Masih anak Maryam”..
    (Surah Al-Maaidah ayat 72)

    “Telah menjadi kafir mereka yang berkata “Sesungguhnya Allah adalah yang ketiga dari tiga”….
    (Surah Al-Maaidah ayat 73)



    Ayat-ayat di atas menunjukkan kalimah Allah digunakan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani dan bahawa kepercayaan mereka itu yang ditolak Allah, telah wujud sebelum zaman datangnya Rasulullah (SAW).


    Maknanya kita membantah orang Nasrani menyebut sesuatu yang Allah sendiri nyatakan dalam Al-Quran sebagai fahaman dan kepercayaan orang Nasrani. Sekiranya kita ingin ungkapan itu diharamkan, silap-silap ianya akan melibatkan ayat Al-Quran yang turut menggunakan ungkapan yang sama!

    Lagipun, dengan dinyatakan sebegitu oleh masyarakat Nasrani, ia sebenarnya mengesahkan apa yang dinyatakan dalam Al-Quran berhubung kepercayaan mereka itu.

    Alasan Ketiga – Ianya akan Menyebabkan Orang Melayu Ramai Murtad

    Ini bagi saya satu penghinaan terhadap ummat Islam. Inilah yang sedang digambarkan oleh UMNO. Saya pernah menyebut di dalam satu majlis bahawa UMNO menganggap keimanan ummat Islam adalah senipis kulit bawang! 

    Mereka membuat andaian ini, mungkin, kerana mereka merujuk kepada diri mereka sendiri! Andaian bahawa orang Islam akan berduyun-duyun memeluk agama Nasrani apabila Bible Bahasa Melayu wujud merupakan satu andaian yang tidak berasas. Lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa Bible tersebut adalah untuk kegunaan orang Nasrani dan bukan untuk edaran dikalangan orang Islam.

    Tanggapan begini mungkin juga disebabkan kesedaran UMNO bahawa mereka telah berusaha dan agak berjaya menjadikan ummat Islam jahil agama. Ummat Islam tidak mengenali dan memahami Islam dengan sebaik mungkin, hasil dasar sekular UMNO BN selama 54 tahun, maka dirasakan ummat Islam akan mudah terkeliru. Kekhuatiran UMNO adalah bukti bahawa UMNO sendiri menyedari pengkhianatan yang mereka lakukan terhadap ummat Islam dengan menjadikan ummat Islam lemah kefahaman agaman mereka sendiri. Yang kerap diajar para ustadz UMNO adalah bab Taharah, Solat, Saum, Zakat dan Haji. Diselang selikan dengan bab Haid dan Nifas serta mandi Junub. Bagi mereka itulah Islam.

    Sekiranya kukuh kefahaman ummat Islam berhubung Aqeedah Islam dan kebenaran Tauhid, disebut Al-Masiih anak Allah dalam apa bahasa dan berapa ribu kali sekalipun, ianya akan hanya menambahkan keyakinan ummat Islam akan kebenaran Islam.

    Dengan menggambarkan keimanan ummat Islam senipis kulit bawang, UMNO telah menghina ummat Islam dan Islam itu sendiri. Mereka menggambarkan Aqeedah Islam rapuh, tidak mampu dipertahankan dan mudah dimusnahkan oleh agama lain. UMNO seolah-olah menggambarkan bila nampak kuil, ummat Islam akan jadi Hindu, kalau nampak Gereja, ummat islam akan menjadi Kristian! Demi mempertahankan Aqeedah Islam, tiada pilihan selain terpaksa menyekat dan melarang kebebasan beragama ummat lain!

    Sebenarnya di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak, di mana Bible berbahasa Melayu telah lama wujud, kita tidak melihat perkara yang seperti yang diramalkan berlaku. Malahan jumlah ummat Islam di kedua-dua Negeri ini semakin bertambah.

    Apa Sebenarnya yang Dihajati?

    Oleh itu, apakah sebenarnya yang dihajati UMNO. Sebenarnya mereka ingin memberikan gambaran kepara rakyat bahawa merekalah yang memperjuangkan dan membela Islam. Bukan dengan menghayati Islam, mengamalakannya dan membenarkannya mencorakkan perwatakan dan keperibadian mereka, tetapi dengan menunjukkan kesamsengan atas alasan mempertahankan Islam. Larang orang bukan Islam dari melakukan ini dan itu sebagai bukti orang Melayu bawah UMNO ada kuasa, walaupun yang dibuatnya dilarang oleh Islam sekeras-kerasnya. Mereka ingin menunjuk Melayu berkuasa dan meraka adalah tuan di bumi ini! 

    Ini bagi saya adalah di antara seruan zaman Jahiliyyah.

    Itulah yang dibezakan Tuan Guru Ustad Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan membahas titah di raja di Parlimen baru-baru ini. TG Ustad A.Hadi menyebut, UMNO memperjuangkan ‘ketuanan’, PAS memperjuangkan ‘kepimpinan’. 

    Bila ‘tuan’ maknanya kehendaknya dipaksa atas masyarakat dan walaupun sesuatu tindakan itu buruk, ianya terus dilakukan kerana dia berkuasa, dia tuan. Perjuangan ‘tuan’ ini perjuangan yang berasaskan nafsu dan biasa dikalangan manusia yang tidak mempunyai akal yang waras apatah lagi petunjuk.

    ‘Kepimpinan’ sebaliknya adalah diperolehi atas sebab dia yang terbaik; menjadi ikutan kerana keadilannya dan kebenarannya. PAS memperjuangkan kepimpinan Islam, berusaha menzahirkan kelebihan dan kebenaran Islam sehingga manusia melihatnya dan meyakini mereka akan selamat di bawah naungannya, samada mereka Muslim atau bukan Muslim. 

    Sememangnya, inilah yang membezakan kami.

    Bible Bahasa Melayu (Indonesia) Dikembalikan

    Akhirnya, selepas kecoh berbulan-bulan lamanya, Bible Bahasa Melayu diserahkan kembali kepada masyarakat Kristian. 

    Saya yakin ianya adalah atas sebab Pilihanraya Negeri Sarawak sudah menjelang tiba. Dari segi sikap UMNO, ianya tetap tidak berubah. UMNO masih tidak faham dan tetap menganggap ‘ketuanan’ adalah apa yang perlu diperjuangkan. Ummat Islam kekal dikelirukan dan diapi-apikan dan dikatakan pula bible berkenaan telah dirosakkan oleh mereka yang menyimpannya setelah ianya disitar. Inilah akibat semangat samseng yang dihasilkan ‘ketuanan’. Mereka tidak ingin ‘kepimpinan’ iaitu membuktikan dan menzahirkan keadilan Islam, mereka tidak sedar pun bahawa Islam menuntut mereka bersikap adil. Oleh itu mereka tidak sama sekali mengambil peduli sekiranya tindakan mereka merosakkan imej Islam dan menjadikannya kelihatan zalim dan tidak mampu berdaya-saing.

    Adalah diharap ummat Islam akan keluar dari kejahilan mereka terhadap ajaran agama Islam itu sendiri dan memahami, tugas kita sebagai ummat Islam adalah untuk mendapatkan ‘kepimpinan’, bukan ‘ketuanan’.

    WaLlahu 'Alam 
    KHALID SAMAD

    1 comments:

    Unknown said...

    saya suka dengan komen yang di sediakan ini,harap-harap siapa yang di sebut di ruangan ini sedar akan kelemahan mereka,jangan hanya menunding jari di sebelah sahaja,ingat ke agamaan bukan lah di perdebatkan,tetapi ia adalah jalan kita menuju ke sorga.

    Post a Comment

     
    Powered by Blogger. Blogger templates by Bloggermint