KERJA ORANG DALAM
MATINYA SEORANG OSAMA
Ketika bangunan World Trade Center di New York dilanggar kapal terbang aku duduk dalam satu sel dengan Tian Chua dalam kem tahanan Kamunting. Kami dikawal dari mengetahui apa yang sedang berlaku diluar penjara. Akhbar yang dimiliki oleh United Malays National Organisation hanya diberi satelah enam bulan kami ditahan. Akhbar ini pun telah dipotong-potong untuk memastikan kami tidak tahu apa yang sedang berlaku diluar penjara. Hasilnya aku ketinggalan dengan semua bentuk berita.
Aku tidak mengetahui apabila berlakunya serangan ke atas WTC di New York pada Selasa itu. Hanya esoknya, hari Rabu Elizebeth Wong telah datang melawat Tian Chua dan dia membawa berita ini. Aku dengan serta merta merasa agak was was tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku. Percambahan fikrah aku tidak membenarkan aku menerima dan menelan bulat bulat apa sahaja fakta dari kuasa daulah tanpa ditapis.
Dalam masa yang sama - tidak jauh dari blok aku ialah blok Al-Maunah. Warga Al-Maunah ini telah sampai ke Kamunting beberapa bulan lebih awal dari aku. Bila aku menyelidik dan bertanya dengan anggota Al-Maunah ini sendiri maka aku lihat mereka telah diperangkap dengan satu mondus operandi operasi hitam untuk menghalalkan pengunaan ISA – penjara tanpa bicara.
Bila aku kaji kes Al-Maunah maka aku merasakan ledakan WTC ini juga adalah satu operasi hitam. Tetapi pada ketika itu pembacaan dan maklumat yang mungkin dapat aku cungkil tidak wujud. Dari Kamunting tidak mungkin aku dapat menganalisa dan mengkaji latar belakang serangan pada 9/11 ini.
Satu minggu sesudah 9/11, aku telah di bawa ke Kuala Lumpur untuk bicara kes Tunjuk Perasaan Reformasi. Dari Kamunting kami di bawa ke Rumah Pasong Sentul sebelum kami dipindahkan ke satu tempat sulit di pinggir kota Kuala Lumpur. Di rumah pasong inilah kali pertamanya aku melihat klip dua buah kapal terbang yang menuju ke arah ke WTC kemudian meletup. Aku mencuri lihat klip ini dari kaca TV di rumah pasong Sentul.
Aku tidak ambil pot tentang siapa Osama bin Laden. Untuk aku nama Bin Laden ini adalah nama busuk dari satu keluarga yang jahat. Sebelum 9/11 berlaku, pada tahun 1993 dahulu satu ledakan di Kerpan Kedah terjadi bilamana seorang yang bernama Bin Laden telah merampas tanah sawah orang kampong untuk dijadikan kolam udang. Aku masih ingat lagi benterokan berlaku awal tahun 90an dimana orang kampong telah bangun melawan apabila tanah sawah mereka dirampas. Manusia yang bernama Bin Laden ini telah berjaya merampas tanah sawah orang kampong dengan kerja sama United Malays National Organisation.
Mara kehadapan dua tahun kemudian : Apabila aku dibebaskan dari Kamunting aku terus mencari sebanyak mungkin maklumat tentang WTC dan 9/11. Melalui internet aku mula mendapat pemahaman jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku di New York pada 9/11 itu. Aku juga dapat melihat kembali detik-detik akhir sebelum ledakan itu berlaku. Aku juga dapat melihat George Bush bermuka poyo lagi tojo dalam bilik darjah ketika diberitahu oleh pegawai sulitnya tentang serangan ini.
Semakin banyak bahan yang aku baca - semakin meyakinkan aku bahawa 9/11 adalah kerja orang dalam. Ini samalah seperti apa yang terjadi kepada kumpulan Al-Maunah. Pada hemat aku penangkapan Al-Maunah ialah agenda Mahathir pada tahun 2000. Ketika ini imej Mahathir dilihat sebagai bangkai oleh orang Melayu. Justeru satu sandiwara rompakan bersenjata dipentaskan di Sauk untuk menimbulkan simpati orang Melayu kepada Mahathir Muhamad. Juga dengan sandiwara bersenjata Al-Sauk Al Maunah ini Mahathir sedang menyediakan persetujuan orang ramai untuk menangkap pemimpin Gerakan Reformasi.
Justeru – apabila 10 orang aktivis Reformasi dan kepimpinan Keadilan di tangkap - kami dituduh yang kami sedang merancang menggunakan senjata untuk menggulingkan Mahathir Muhamad. Kami dituduh sedang menyusun gerakan ini secara sulit dan rahsia. Justeru, kerana ini maka aku berpendapat amat jelas bahawa Al Maunah hanyalah pembuka jalan untuk tangkapan beramai-ramai.
Sayangnya, agenda Mahathir dengan Operasi Al-Sauk Al-Maunah ini telah dijadikan bahan lawak oleh orang ramai. Orang ramai telah diberi tahu bahawa tiga buah Pajero telah berjaya membawa lari 4 tan senjata dalam masa 15 minit. Apabila berita ini muncul satu negara ketawa besar. Lawak Pajero ini menjadikan rancangan Mahathir Muhamad terbarai.
Untuk menolak gurindam dan seloka Al-Sauk Al Maunah ini, babak rompakan ini telah dipentaskan semula untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa memang rompakan ini boleh berlaku dalam masa 15 minit dan 4 tan senjata boleh dimuatkan dalam tiga buah kereta Pajero.
Nasib tidak menyebelahi Mahafiraun - nama manja Mahathir ketika itu. Tidak ada sesiapa ambil pot tentang lakonan semula rompakan senjata ini. Imej Mahathir terus merundum hingga ke hari ini. Ini samalah dengan apa yang terjadi kepada George Bush sesudah 9/11.
Kajian demi kajian telah dibuat tentang apa sebenarnya berlaku sebelum dan sesudah pada 9/11. Maklumat baru muncul, maklumat tersorok dicungkil, gambar baru muncul, kenyataan yang cuba ditenggelamkan dibuka kembali – akhirnya lebih dari 50% warga Amerika tidak percaya dengan maklumat yang diberikan oleh Rumah Puteh, Tentera atau FBI.
Dalam masa yang sama semakin ramai sosok-sosok berwibawa dan berjawatan tinggi dalam kerajaan telah mula mempersoalkan ‘kerja orang dalam ini’. Mereka yang mempertikaikan naratif resmi ini bukan ‘kecik anak’. Morgan Reynolds bekas penasehat ekonomi di bawah Bush Senior, Paul Roberts Ketua Nasa dari Jabatan Pertahanan, Michel Meacher bekas Menteri Alam Sekitar United Kingdom ( 1997-2003) adalah diantara sosok yang bangun dan bersuara kerana kesangsian mereka terhadap apa yang berlaku pada 9/11.
Manakala Andreas Von Buelow bekas Menteri Pertahanan German secara terang terang telah mengeluarkan kenyataan dan menulis buku tentang konspirasi CIA yang mewujudkan 9/11.
Kemudian pada tahun 2005 aku dapat menonton dari YouTube filem dokumentri bernama ‘ Loose Change’. Dokumentri ini dengan berjaya telah membuktikan bahawa ledakan WTC pada 9/11 adalah kerja orang dalam. Malah aku sendiri terperanjat kerana ada beberapa fakta baru yang tidak aku sedari telah ditimbulkan oleh Loose Change.
Mungkin hingga ke hari ini aku rasa masih ramai warga dunia tidak menyedari bahawa pada 9/11 itu bukan dua ( not two ) tetapi tiga bangunan telah runtuh. Bangunan ke tiga ini dipanggil Building7. Yang menjadi lawak besar ( macam lawak Pajero AL-Maunah ) Building7 ini tidak ada kena mengena dan tidak diusik pun oleh kapal terbang yang dikatakan telah dibajak oleh Al-Qaida. Building7 ini terbakar dengan sendiri dan akhirnya runtuh.
Sehari sesudah 9/11, George Bush dengan tangkas telah menuduh ledakan WTC adalah kerja Al-Qaeda yang dipimpin oleh Osama Bin Ladin. Justeru, semenjak 9/11 berlaku nama Osama telah menjadi nama yang digunakan untuk mengolah persetujuan warga dunia agar menyokong kuasa imperilis Amerika dalam tindakan untuk menyerang Iraq, Iran, Afghanistan dan Pakistan.
Di era Perang Dingin dahulu – sebelum runtuhnya Tembok Berlin - yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan rakyat dunia ialah Russsia dan Komunis. Selesai Perang Dingin ini Osama dan Al-Qaeda telah dijadikan hantu baru untuk menakutkan warga dunia dan menghalalkan perang dengan strateji yang dipanggil – perang menentang keganasan.
Dengan jelas aku melihat bahawa seperti Al-Sauk Al-Maunah dimana Mahathir Muhamad ingin meneruskan agenda politik untuk memperkayakan kroninya - George Bush juga telah menggunakan Osama untuk menyerang Iraq dan Afghanistan. Di Iraq ‘military industrial complex’ - kuasa industri senjata Amerika ingin menawan telaga minyak. Di Afghanistan pula yang ingin ditawan ialah punca-punca gas.
Apabila berita Osama ditembak mati di Abbotabad Pakistan aku juga tidak ambil pot. Ini bukan kerana aku masih lagi dalam Kamunting. Aku tidak ambil pot kerana dari apa yang aku kaji dan aku baca – amat jelas bahawa Osama ini adalah pekakas yang telah digunakan oleh CIA. Macam selipar jepun, macam skrew, macam beg palstik – semua ini boleh kita gunakan untuk satu ketika.
Skrew mungkin berkarat. Selipar jepun mungkin talinya terputus. Beg plastik mungkin telah terkoyak - maka semuanya boleh dibuangkan bila tidak boleh digunakan lagi. Bagitulah juga dengan sosok yang bernama Osama Bin Ladin. Jangan silap faham – bukan aku tidak menghormati orang yang telah meninggal dunia.
Tetapi untuk sesiapa yang rajin membaca dan mengkaji tentang sejarah 9/11 dan sejarah Osama akan mengakui bahawa Osama ini hanya perkakas CIA. Puluhan buku telah ditulis. Ratusan dokumentri telah dibuat. Semuanya menunjukkan bahawa Osama ini adalah apa yang dipanggil ‘asset’ dalam pengistilahan CIA. Asset ialah manusia yang bekerjasama dengan CIA dan memiliki hubungan dengan badan perisik Amerika ini.
Dari segi fakta sejarah - hubungan antara Osama dengan CIA ini terjalin pada awal tahun 80’an dahulu di Afghanistan. Ketika ini tentera Soviet Union/Russia telah menduduki Afghanistan. Amerika yang memusuhi Russia secara bijak dan terancang telah melaungkan trompet ‘jihad melawan komunis’. Berbondong bondong anak muda Islam datang untuk menyahut laungan CIA ini. Ketika ini sesiapa sahaja yang bangun melawan Russia di Afghanistan akan dipanggil Mujahidin.
Tetapi CIA memiliki satu masalah - tidak mungkin seorang Mat Saleh dari Boston atau New York yang minum arak dan bertogel siang malam dapat memimpin gerakan ‘jihad’ ini. Imej Islamik amat amat diperlukan. Maka disinilah munculnya peranan Osama Bin Laden. Seorang Arab, warak beragama, berjanggut mengikut sunnah nabi dan dikatakan kaya dan memiliki dana melimpah ruah. Sudah tepat - Osama adalah ‘asset’ terbaik untuk CIA.
Duit mula meloroh masuk membantu Mujahidin yang sedang berjihad melawan komunis. Duit dan senjata dari CIA ini dikatakan datang dari sedekah dan zakat warga Arab yang kaya raya. Bayangkan betapa gembiranya para Mujahidin apabila mendengar muslim dan muslimat bersedekah membantu mereka. Tetapi ada orang yang lebih bergumbira; kuasa imperial Amerika amat amat gumbira kerana ada orang lain yang mati melawan musuh Amerika. Inilah peranan Osama Bin Laden.
Aku tidak menafikan dan memperlekehkan niat suci Osama dan niat baik anak anak muda yang datang ‘berjihad’ di Afghanistan pada ketika itu. Sama seperti apa yang berlaku kepada tim silat Al-Maunah. Mereka kurang sedar ada agenda tersorok yang lebih besar. Mereka hanya menjadi pekakas. Dibelakang niat suci dan niat baik para Mujahidin ini adalah agenda kuasa imperial dan kuasa industri tentera Amerika untuk mendirikan Satu Kerajaan Dunia di bawah telunjuk Amerika Syarikat.(TT)
nota:
bahagian kedua minggu depan
0 comments:
Post a Comment