Pemegang saham kedua terbesar syarikat Tricubes Berhad, iaitu Commerce Technology Ventures Sdn Bhd telah melepaskan sebahagian besar pegangan sahamnya pada minggu lalu, setelah mencungkil kontroversi berikutan penerimaan projek "E-mel 1Malaysia" daripada kerajaan Najib.
Menurut maklumat di Bursa Malaysia, Tricubes Bhd mengalami perubahan yang jelas dari struktur pegangan sahamnya pada 4 Mei 2011, iaitu pemegang saham kedua terbesarnya, Commerce Technology Ventures Sdn Bhd telah melepaskan 14.5 juta unit sahamnya, bersamaan 10.82% saham, beberapa hari yang lalu.
Menurut maklumat itu, Commerce Technology Ventures melepaskan 8.33 juta unit saham Tricubes pada 27 April melalui pasaran terbuka, sebelum melepaskan 1.16 juta unit saham pada 25 April dan 5 juta unit saham pada 26 April.
Setelah perlepasan saham ini, maka Commerce Technology Ventures hanya memegang 4.63% saham Tricubes sekarang. Dengan kata lain, Commerce Technology Ventures bukan lagi pemegang saham besar Tricubes. Menurut peraturan Bursa, pemegang saham yang lebih rendah daripada 5% tidak perlu melapor kepada Bursa Malaysia.
Untuk tiga hari kebelakangan ini, harga saham Tricubes berlegar di antara 25.5 sen dengan 29.5 sen. Syarikat yang tersenarai dalam GN3 ini berdepan dengan kemungkinan ditarik penyenaraiannya. Selepas tersebarnya khabar projek "E-mel 1Malaysia", harga sahamnya melonjak dari 5.5 sen pada 18 April, kepada 32.5 sen pada 22 April, dengan lonjakan 491% dalam masa satu minggu.
Commerce Group atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group kini telah dinamakan sebagai CIMB Group, diterajui oleh adik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Nazir Razak. Nazir Razak adalah Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group.
Perkara ini mencungkil kontroversi setelah didedahkan, namun Nazir Razak menegaskan bahawa CIMB tidak memiliki syarikat itu. "Kami tidak terlibat dengan pengurusannya. Kami tidak mempunyai wakil dalam lembaga pengarahnya... ia adalah kepentingan pasif sepenuhnya. Sebarang kenyataan yang membayangkan kami sedikit sebanyak terlibat dalam perniagaan itu berniat jahat," katanya. 【Baca:Pelaburan CIMB dalam Tricubes melalui Dana Ekuiti Swasta】
0 comments:
Post a Comment