Perwakilan PAS berdiri teguh atas "lumpur ekstremisme"

Posted on
  • Thursday, June 16, 2011
  • by
  • Prolog
  • in
  • Apa itu politik?  Politik terlebih dahulu membezakan diri kita dengan pihak lawan.  Dalam konteks politik kontemporari Malaysia amnya dan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 khasnya, mesej jelas dan signifikan telah disampaikan melalui keputusan pemilihan saf kepemimpinan baru PAS untuk sesi 2011-2013, perbahasan perwakilan dan ucapan pimpinan parti tersebut.

    Apabila mesej politik yang tepat dapat ditonjolkan melalui sidang Muktamar, tuan rumah yakni PAS bukan sahaja membezakan diri dengan UMNO malahan juga menggerunkan UMNO.  Sebab itu sehingga hari ini, bukan sahaja lidah rasmi UMNO - Utusan Malaysia - terus-menerus memberikan laporan berita sebesar liputan muka depan kepada isu yang berkisar sekitar sidang Muktamar dan pemilihan.  Pemimpin UMNO bermula dengan Najib, berbaris menunggu giliran menyerang PAS, termasuk "manufacture" isu palsu demi mententeramkan kebimbangan dalam kalangan pimpinan Barisan Nasional (BN) amnya dan UMNO khasnya.

    Meskipun pemimpin UMNO berperut buncit enggan mengakui realiti bahawa muka manisnya adalah cubaan untuk menyelindung keresahan hati yang berat sekali, umum sedia maklum bahawa yang merasa gerun dengan keputusan pemilihan saf kepemimpinan baru PAS bukan para ulama yang alim tetapi kumpulan pemimpin BN yang senantiasa bermuka merah-merahan.

    "Negara berkebajikan" memberangsangkan

    Dalam kita menunggu ketibaan pilihan raya umum ke-13 (PRU ke-13), mesej utama yang dibawa oleh Presiden PAS Hadi Awang - membangun negara berkebajikan - bukan sahaja memberangsangkan ahli-ahli PAS yang mahukan pemantapan jentera PAS menghadapi PRU ke-13, tetapi juga penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang mahukan perubahan yang menghala ke arah pembentukan sistem dua-barisan (two-coalition system).

    Hal ini bermaksud, apa yang PAS harus bezakan dirinya dengan UMNO bukan sekadar menganggap UMNO sebagai lawan politik tetapi juga membezakan dirinya dengan UMNO dari segi nilai, konsep serta cara memperjuangankan dan membawa perubahan kepada politik kenegaraan Malaysia.

    Rata-rata negara dalam dunia moden berbicara kuat mengenai keperluan perubahan dan transformasi.  Sebagai kesinambungan laungan kuat zaman reformasi, masyarakat Malaysia pasca 8 Mac 2008 juga menuntut perubahan.  Sebab itu Kerajaan BN pimpinan Najib cuba memabukkan rakyat jelata dengan paparan-paparan "berita transformasi" saban hari yang lebih merupakan propaganda.  Namun percubaan Najib untuk mengembalikan kegemilangan UMNO bakal menemui kegagalan.

    Sehingga hari ini, biarpun corak politik bertalam dua muka dan politik perkauman cuba menghalang peningkatan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat, namun percubaan-percubaan seumpama yang bercorak ekstremisme juga memantapkan sokongan kuat yang telah diberikan kepada KEADILAN, PAS dan DAP.

    Rakyat secara amnya mahukan transformasi politik yang menghala ke arah pertengahan, bukan politik bercorak ekstremisme.  Sebab itu tanpa transformasi politik dalaman yang bermakna, UMNO yang kini terjerumus ke dalam "lumpur ekstremisme" yang dijauhi rakyat terbanyak merupakan penghalang utama kepada program transformasi Kerajaan Najib.

    Sementara UMNO masih bergelumang dengan "lumpur ekstremisme" bagaikan budak kecil yang belum matang, PAS tidak terikut-ikut dengan permainan budak-budakan UMNO.  Petunjuk yang ditonjolkan oleh perwakilan PAS dalam pemilihan saf kepemimpinan baru PAS kali ini adalah jelas: Tolak UMNO, tolak Utusan dan kuburkan politik "kerajaan perpaduan"!

    "Kerajaan Perpaduan" ialah isu palsu

    Politik "kerajaan perpaduan" merupakan salah satu isu palsu yang sering dimainkan oleh UMNO untuk memperbodohkan kebijaksanaan dan tamadun Melayu.  Tamadun Melayu sepertilah tamadun dunia lain yang berkembang pesat selari dengan kemajuan dunia.  Dalam konteks ini, harapan rakyat adalah politik kenegaraan Malaysia wajar berkembang dalam kerangka sistem dua-barisan, bukan pendominasian kerajaan oleh satu parti (one-party dominant state) untuk selama-lamanya.

    Dengan kata lain, transformasi politik yang kini kelihatan muncul dalam PAS bakal membawa politik kenegaraan ke satu tahap baru - yakni ke arah pertengahan yang mempunyai implikasi positif kepada pembentukan sistem dua-barisan.  UMNO yang terus bergelumang dengan "lumpur ekstremisme" pula merupakan penghalang kepada kemajuan tamadun Melayu dan politik kenegaraan yang mantap.

    Sistem dua-barisan harus bermula dengan pertukaran rejim di peringkat persekutuan, tetapi hujah ini tidak bermaksud rejim baru dapat menduduki tampuk pemerintahan selama-lamanya.  Apabila politik kedua-dua belah masing-masing menuju ke arah pertengahan, pertembungan juga akan berlaku.  Tetapi pertembungan dalam kerangka pertengahan dapat menjauhkan politik kenegaraan daripada pergolakan yang tidak terjangka.

    Pergolakan yang dapat dijangka akan menampakkan persamaan dalam pertembungan.  Dalam konteks kemajmukan Malaysia, hal ini bermaksud persamaan dari segi hala tuju pertengahan kini mencorakkan cara KEADILAN, PAS dan DAP membawa perubahan kepada politik kenegaraan dan masyarakat Malaysia.

    Maka persoalan seterusnya adalah, apakah perbezaan konsep "negara berkebajikan" PAS dengan UMNO yang juga mendakwa kononnya didasari konsep yang sama?  Dalam soal ini, ucapan Presiden PAS secara ringkas telah menyentuh perbezaannya:

    "PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan UMNO/BN, sehingga mengambil kesempatan mendapat hasil melalui rukun hidup rakyat."

    Perbezaan tersebut termasuk hujah bahawa "Kerajaan yang berniaga menerusi GLC pula, mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu, manakala kerugian perniagaan pula ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat jelata", seiring, seirama dan senada suara dengan intipati Buku Jingga yang juga melakarkan harapan rakyat apabila Pakatan Rakyat diberikan peluang mentadbir urus Kerajaan Persekutuan.

    Pembaharuan secara dasar

    Apabila Kerajaan Persekutuan hari ini begitu ghairah dengan sifat tata kelola yang boros lagi memboroskan sedangkan rakyat terbanyak menderita menjalani kehidupan harian yang penuh dengan tekanan.  Kita bukan sahaja perlu menolak Menteri Pelancongan yang membelanjakan RM1.8 juta untuk laman Facebook, atau bekas Menteri Besar (MB) yang "berkemampuan" membayar RM6.5 juta secara tunai untuk mengubahsuai "mahligai" tidak setimpal dengan gaji seorang MB, atau Kerajaan BN yang tidak mampu menjelaskan ke mana perginya saham bumiputera berjumlah RM52 bilion yang dilesapkan di Bursa Kuala Lumpur, kita juga perlu pastikan perubahan dan pembaharuan secara dasar dilakukan.

    Pembaharuan secara dasar memerlukan pertembungan pemikiran dan wacana baru.  Sesungguhnya, pertembungan pemikiran merupakan sebahagian daripada petanda penting kemajuan tamadun masyarakat yang dapat memberi implikasi positif terhadap transformasi politik.  Dalam hal ini, pengkategorian saf kepemimpinan baru PAS kepada golongan ulama dan professional tidak memberi makna nyata selain melambangkan kebodohan UMNO berikutan lesapnya isu palsu "kerajaan perpaduan".

    Namun, pertembungan pemikiran seperti pertembungan antara kaum tua dan kaum muda dalam kalangan ulama yang pernah berlaku dalam sejarah pemikiran Islam mempunyai makna signifikan kepada kemajuan tamadun Islam termasuk cara membawa perjuangan politik dan nilai-nilai politik.  Maka tidak perlulah masyarakat melihat pertembungan sedemikian sebagai larangan.

    Akhir kata, izinkan saya meminjam kata-kata Tengku Nasaruddin Said Effendy atau yang lebih dikenali sebagai Tenas Effendy untuk menggambarkan kebijaksanaan para perwakilan PAS seperti berikut:

    Bijaknya berkayuh menongkah arus
    Bijak menarik rambut di tepung

    Bijak menangkis bersilat lidah
    Bijak marah dalam ketawa
    Bijak senyum dalam susah

    Bijak mengukur sama panjang
    Bijak menimbang sama berat

    Bijak memberi kata putus
    Bijak melangkah dalam onak
    Bijak menepis tuntung keris

    *Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

    **Ooi Heng ialah salah seorang panelis untuk forum berjudul "Cabaran Transformasi Parti Politik: Ke arah Pertengahan dalam Kemajmukan", yang akan diadakan pada 17 Jun 2011, Jumaat.  Panelis yang lain termasuk Naib Presiden PAS Husam Musa dan kolumnis dwi-bahasa, Lee Ban Chen. Sila baca: Forum "Cabaran Transformasi Parti Politik: Ke arah Pertengahan dalam Kemajmukan" .

    0 comments:

    Post a Comment

     
    Powered by Blogger. Blogger templates by Bloggermint