Para pembaca yang budiman : Aku rasa agak ramai para pembaca yang agak kabur tentang konsep dan falsafah Negara Kebajikan. Apabila parti Pas mengajukan Negara Kebajikan sebagai raison d'ĂȘtre /matlamat dan garis perjuangan parti ini kelihatan musuh utama rakyat Malaysia - United Malays National Organisation – menjadi sasau dan gaban.
Secara mengejut – tetiba – bengolan-bengolan dari United Malays National Organisation menjadi sasau dan mamai. Entah pelesit mana yang datang merasok. Dengan mengejut secara tetiba Mahathir Muhamad, Najib Razak , Nazri Aziz, Utusan Malaysia dan Perkasa meluahkan cinta berahi mereka terhadap para ulama Pas.
Aku perhatikan, tanpa segan silu mereka ‘frus menonggeng’ dan ‘tergolek dog’ menangis, merayu dan meraung apabila Negara Islam tidak lagi dijadikan ajenda politik oleh Pas. Dengan penuh sasau mereka ingin memelok dan mencium para ulama Pas terutama yang telah kalah dalam pemilihan baru-baru ini.
Cerita sedih ini menjadi lucu apabila Ibrahim Ali merasa kesucian agamanya tercemar apabila Pas mengajukan Negara Kebajikan. Zul Nordin tersedak hingga tercabut kopiah basinya apabila diberitahu bahawa Mohamad Sabu telah berjaya menduduki kerusi pucuk pimpinan Pas. Utusan Malaysia tidak putus putus air liur bergebang tentang bagaimana Pas telah menjadi kuda Dap.
Zum kali zoom. Gaban ya maikul gaban. Nampaknya kemunculan pimpinan baru dalam Pas ini telah menjadikan United Malays National Organisation kelam kabut dan sampar larau tak tentu arah tujuan. Ada bengolan yang meminta Pas meninggalkan Islam. Ada bengolan yang berkata Pas telah belot kerana meninggalkan Islam.
Lawak-lawak seram ini semakin menjadi-jadi. Aku terguling guling ketawa terbahak-bahak hingga tercabut tiga helai bulu hidung apabila terbaca berita tentang Mahathir Muhamad berfatwa dengan surah dan ayat-ayat Quran.
Bayangkan Mahathir Muhamad, kaki kelentong ini telah bersalin kulit menjadi seorang lebai. Lebai Mahathir ini telah mula berlabon dengan ayat-ayat Quran. Paling lawak ialah apabila Lebai Mahathir ini menerangkan kepada jemaah suraunya bahawa pimpinan baru dalam Pas ini adalah kemenangan untuk Bengali Karpal Singh. Macam mana si Bengali ini masuk dalam kes ini aku pun tak faham.
Aku perhatikan kempen anti Pas ini akan diteruskan. Kempen ini bertujuan untuk mengharu birukan Pas dan para penyokong Pas. Kempen yang berjangkan panjang ini bertujuan agar akan muncul tim serpihan ‘ulamak’ dalam Pas. Bengolan-bengolan dalam United Malay National Organisation akan pasang colok bernazar jika parti Pas retak dan pecah.
Kenapa ini berlaku?
Biar aku terangkan disini pensejarahan latar belakang agar kita semua dapat memahami realpolitik yang sedang berlaku dihadapan mata kita. Semuanya bermula pada malam kemenangan pilihanraya yang lalu. Ingat tak malam itu? Jangan lupa malam itu juga dikenali sebagai Malam Khir Toyo Membakar Fail di pejabat kerajaan Shah Alam.
Pada malam itu United Malays National Organisation melihat kekalahan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan. Kekalahan di Selangor adalah satu pukulan hebat. Negeri terkaya di Malaysia telah terlucut. Sesudah membakar fail-fail, Khir Toyo dengan cepat dan tangkas mula melakukan kerja-kerja jahat.
Khir Toyo memukul talipon. Beberapa orang pucuk pimpinan Pas telah dihubungi. Tujuan: untuk melahirkan apa yang dipanggil ‘kerajaan perpaduan’. Pekara ini bukan lagi rahsia. Apa yang aku tulis ini bukan fitnah. Semua telah terbarai. Semuanya telah diketahui umum. Apa yang aku lakukan ini hanya merakamkan sejarah ini secara hitam puteh untuk ingatan cucu cicit kita nanti.
Semenjak malam itu mimpi berahi United Malay National Organisation untuk kembali berkuasa di Selangor tidak putus–putus. Dalam masa yang sama beberapa bengolan Pas terus dirangsang oleh mimpi berahi untuk menjadi Menteri Besar dan meniduri jawatan menteri pusat jika kerajaan perpaduan dapat di wujudkan.
Benda yang dipanggil ‘kerajaan perpaduan’ ini di kenali juga dengan nama manjanya - YUGI. Ini bukan ‘ yugi - underground’ lingo musik anak-anak muda. Yu Gi ini bermakna Unity Government. Anasir-anasir yang menyokong Yu Gi dalam Pas ini terus bergerak. Di Selangor ianya amat aktif sekali hingga anasir Yu Gi ini berjaya menyingkirkan Saari Sungip dan Khalid Samad dari pucuk pimpinan Pas Negeri.
Selama tiga tahun bahtera Pas terumbang ambing akibat dari kerja-kerja jahat anasir-anasir Yu Gi. Dalam masa yang sama bengolan United Malay National Organisation terus ‘memukul talipon’ berhubung dengan anasir-anasir Yi Gi dalam Pas. Hubungan sulit terus dilakukan - cinta kaseh sayang mereka terus dibakar. Akhirnya gerak kerja anasir Yu Gi dalam Pas ini telah berjaya menggangu gugat kerja-kerja politik Pakatan Rakyat.
Nafsu dan berahi anasir Yu Gi ini terus dibelai dan diraba-raba untuk memastikan ianya terus keras dan tegang. Justeru pelbagai bentuk kenyaataan telah dibuat. Pucuk pimpinan United Malays National Organisation telah membuat kenyataan tentang betapa indahnya jika Melayu bersegama dengan Melayu. Betapa gah dan luasnya pancutan politik ketuanan Melayu jika Melayu dapat berpadu-padu dengan Melayu.
Aku tersenyum melihat bagaimana pada awalnya kenyataan dan jemputan dari bengolan United Malays National Organisation ini agak berlapik. Tetapi semua ni berakhir pada petang cuti Hari Krismas yang lalu. Pada petang itu satu pertemuan sulit dimana Najib, Muhyiddin, Nik Aziz dan Hadi Awang telah diadakan. Perjumpaan ini menjadi pacit apabila Nik Aziz minta diri berundur kerana alasan sakit pinggang.
Kesah Nik Aziz mengkantoikan projek Yu Gi ini menjadi bahak gelak ketawa dalam internet. Bayangkan kata-kata Nik Aziz dengan lorat Kelantan nya : Ambo tok seeh padu padu ni…Ambo minta diri dulu… Ambo nok gi hospital…’
Cuba bayangkan bagaimana rupa muka Najib dan muka Muhyiddin ketika Nik Aziz bangun dan beredar. Betapa sedih dan pilu rasa hati Abang Nasa apabila semua rancangan untuk menubuhkan ‘kerajaan perpaduan’ gagal. Mimpi Abang Nasa untuk menjadi menteri kabinet jatuh berderai derai tergolek-golek.
Sesudah petang Krismas itu jemputan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan ini mula diajukan tanpa berlapik-lapik. Jemputan ini datang bertalu-talu. Semua bersuara menjemput Pas untuk mendirikan kerajaan perpaduan. Hinggakan Lokman Adam seorang jurufikir ulung United Malay National Organisation sendiri sanggup membuat jemputan secara terbuka di satu forum di Kota Bahru.
Nampaknya hanya Ummi Ufilda sahaja yang tidak menjemput Pas untuk berpadu-padu dengan United Malays National Organisation. Ini mungkin kerana Ummi tidak memahami makna Unity Government kerana ianya disebut dalam Bahasa Inggeris.
Cita-cita dan niat United Malays National Organisation untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan dengan Pas ini bertujuan untuk memastikan kerajaan yang ada sekarang akan terus berkuasa. United Malay National Organisation yang semakin terpencil dan terpinggir memerlukan tabung oxygen dari Pas.
Lalu gendang Ketuanan Melayu dimainkan untuk memanggil Melayu bertandak. Tetapi sayangnya, memukul gendang Melayu ini aku rasa telah membosankan. Selama 50 tahun gendang Melayu ini telah di pukul. Dari hari ke hari sambutan semakin hambar.Tak ramai anak muda dan berjongeng dan bertandak. Bukan sahaja gendang ini memekakkan telinga malah untuk anak anak muda gendang Ketuanan Melayu ini tidak dilihat cool.
Kini jelas, United Malay National Organsiation semakin hilang akal. Ini bukan lagi gila talak. Ini betul-betul jadi gila. Sejarah pilihanraya kecil memperlihatkan mereka kalah terok dan dilihat terdesak. Undi orang China dilaporkan akan seratus peratus akan pergi ke Pakatan Rakyat. Undi Melayu hanya datang dari warga emas dan Mak Cik Felda. Hanya ada satu berita baik untuk United Malay National Organisation. Pengundi India dari pimpinan Reezal Merican dan Abdeel Azeez masih tetap setia. Syukur.
Muktamar Pas yang baru berlalu dahulu bagitu bersejarah sekali. Ianya membawa perubahan lanskap politik yang hakiki. Aku berpendapat selesai sahaja muktamar Pas minggu lalu pintu Yu Gi telah tertutup.
Anasir-anasir Yu Gi jelas terpelanting dari pucuk pimpinan. Abang Nasa diberitakan menangis kerana telah ditikam oleh ‘geng’ sendiri. Syarikat Syabas pun tak ada peluang untuk mengucapkan syabas kepada Hassan Ali kerana Hassan Ali sendiri telah tercabut kuasa dari Selangor.
Untuk menyeronokkan cerita biar aku buka cerita Pontianak dan Dracula. Mengikut kesahnya, Count Dracula yang meracau sesudah mati hanya dapat dibunuh dengan tikaman salib. Legend Dracula ini tak jauh bezanya dengan cerita Pontianak Orang Melayu. Mengikut kesah cerita, Minah Pontianak akan berhenti menggangu kampong apabila tengoknya dipaku.
Tentu tuan pembaca yang budiman akan bertanya : Apa sangkut pautnya Pontianak dan Dracula dengan politik tanah air kita? Mari sini ambo nak royak. Dengar baik-baik.
Apabila Abang Mat Sabu menang dan menduduki tempat kedua dalam Pas maka ini samalah seperti paku akan akan memaku si Pontianak yang bernama Yu Gi. Pontianak Yu Gi yang meracau meroyan ini akan dikuburkan. Yang tinggal sekarang hanyalah pelesit tidak berjenjang yang bernama United Malay National Organisation.
Tak faham? Kalau tak faham tunggu minggu depan.(TT)
0 comments:
Post a Comment